KEBANYAKAN pasangan yang menanti kelahiran anak sulung kini tidak berdebar seperti zaman dulu-dulu. Siang-siang mereka boleh meneka sama ada bayi yang bakal lahir nanti lelaki atau perempuan, menerusi kecanggihan teknologi. Masih dalam rahim ibu, jantina janin @ bayi kini sudah boleh diketahui. Doktor pakar melakukan ‘scan’ ke atas wanita hamil, dan bakal ibu – juga bakal ayah – boleh melihat gerakan bayi dalam perut, tergedik-gedik. Menerusi kaedah itu juga boleh diketahui yang lahir nanti lelaki atau perempuan. Ketepatan pengecaman jantina menerusi scan boleh dikatakan 90 peratus. Ibu zaman dulu-dulu tidak ada scan. Jangankan scan, di kampung saya klinik atau hospital bersalin pun tidak ada. Waktu itu kalau ada klinik desa sudah dianggap maju. Ada klinik, ada jururawat; sampai sekarang orang tua-tua tempat saya tidak sebut ‘jururawat’ tetapi panggil ‘misi’. Oleh sebab misi tiada dulu-dulu orang kampung lebih bergantung pada mak bidan, atau sesetengah orang menyebutnya ‘dukun bera...