HatI - hAtI MeMilIH naMA anAK ♥♥♥

KEBANYAKAN pasangan yang menanti kelahiran anak sulung kini tidak berdebar seperti zaman dulu-dulu. Siang-siang mereka boleh meneka sama ada bayi yang bakal lahir nanti lelaki atau perempuan, menerusi kecanggihan teknologi.


Masih dalam rahim ibu, jantina janin @ bayi kini sudah boleh diketahui. Doktor pakar melakukan ‘scan’ ke atas wanita hamil, dan bakal ibu – juga bakal ayah – boleh melihat gerakan bayi dalam perut, tergedik-gedik. Menerusi kaedah itu juga boleh diketahui yang lahir nanti lelaki atau perempuan. Ketepatan pengecaman jantina menerusi scan boleh dikatakan 90 peratus.
Ibu zaman dulu-dulu tidak ada scan. Jangankan scan, di kampung saya klinik atau hospital bersalin pun tidak ada. Waktu itu kalau ada klinik desa sudah dianggap maju. Ada klinik, ada jururawat; sampai sekarang orang tua-tua tempat saya tidak sebut ‘jururawat’ tetapi panggil ‘misi’.
Oleh sebab misi tiada dulu-dulu orang kampung lebih bergantung pada mak bidan, atau sesetengah orang menyebutnya ‘dukun beranak’. Sejak awal kehamilan mak bidan sudah diberitahu, dan boleh ditempah. Ada apa-apa masalah tentang kandungan, mak bidan menjadi tempat merujuk.
Walaupun tidak ada alat scan, mak bidan boleh meramalkan jantina bayi dalam perut. Dengan meraba-raba perut wanita hamil, dia boleh mengesan lelaki atau perempuan. Kalau bayi terlalu aktif dan sering meronta-ronta dalam rahim, menurut mak bidan itu tandanya bayi lelaki. Teori tanpa kajian saintifik bidan kampung ialah sekiranya bayi kuat menendang dalam kandungan, itu pasti lelaki.
Cara mengidam ibu ketika hamil pun boleh dijadikan panduan untuk mengesan jantina bayi. Kata mak bidan, kalau ibu hamil mengidam dan suka makan yang manis-manis, itu tanda bayi perempuan. Kalau mengidam hanya yang masam-masam – jeruk mangga, putih mangga, kedondong, buah kelubi – itu tandanya budak lelaki. Kalau sepanjang hamil ibu ‘wek-wek-wek’ pagi petang siang malam, itu pun tanda bayi lelaki.


Tetapi masih ada suspen, sebab ketepatan pengecaman mak bidan biasanya tidak sampai 50 peratus. Sebahagian besar ramalannya tidak tepat. Tentu sekali dia tidak boleh disalahkan sebab dia hanya menggunakan tapak tangan dan ibu jari untuk mengesan jantina. Tapi kalau ramalannya tepat, KPI bidan berkenaan akan melonjak, dan dia akan menjadi buah mulut sekampung. Pantang ada wanita – termasuk pengantin baharu – yang dua kali tidak datang bulan, mak bidan ini akan ditempah awal-awal.
Ada baiknya jantina bayi disahkan lebih awal. Oleh sebab sudah diketahui lelaki atau perempuan, mudah ibu bapa memilih pakaian si comel yang bakal lahir. Kalau perempuan, yang akan dibeli semuanya berwarna merah jambu. Jika bayi lelaki pilihan warna adalah biru.


Pengesahan jantina secara scan sejak di dalam kandungan ibu juga memudahkan pihak keluarga memilih nama yang paling sesuai. Kalau sudah sah perempuan, boleh tentukan nama perempuan. Beli buku memilih nama anak, dan carilah nama yang paling sedap.


Tetapi jangan pilih nama sekadar berpandukan ramalan mak bidan kampung. Sebab, seperti yang dijelaskan, ramalan dukun beranak selalu tidak tepat. Dalam kes saya, seperti yang pernah diceritakan oleh opah – kini arwah, semoga rohnya dicucuri rahmat, amin – sejak dalam kandungan, bidan meramalkan saya perempuan, sebab tidak aktif dan macam tidak ada respons apabila perut emak diraba.
Oleh sebab semua yakin perempuan, abah, emak dan opah sendiri memilih banyak nama perempuan. Opah senaraikan nama-nama tradisional termasuk Kuntum, Cempaka Seri, Siti Mawar. Tetapi abah dan emak lebih suka nama yang zaman itu dianggap ‘glamor’, termasuk Jamilah, Rohana, Hasnah, Halijah. Bagaimana pun akhirnya semua bersetuju nama paling cantik ialah Jalilah. Tetapi ramalan mak bidan tidak tepat, apabila yang lahir ternyata lelaki. Maka Jalilah pun menjadi Jalil.
Bagi pasangan yang menunggu kelahiran anak sulung, memilih nama bukan kerja mudah, lebih-lebih lagi zaman sekarang nama bukan sahaja perlu glamor tetapi mesti ada nilai komersial. Tentu sekali pilihan opah dulu-dulu tidak sesuai lagi zaman ini.


Dulu alam keliling dan bunga di halaman rumah dijadikan idea memilih nama seperti Cempaka, Melati, Seroja dan sebagainya. Tetapi tidak ada pula yang menamakan anak perempuan mereka Kekwa. Walaupun bunga tahi ayam banyak dan cantik, tidak ada yang berani menggunakan bunga itu sebagai nama anak. Tentulah tidak sedap apabila nama itu disebut dalam majlis ‘Tahi Ayam binti Mat Deris’.
Sekarang kalau hendak nama bunga, kena cari bunga luar negara dan bunyinya ada ala-ala orang putih, seperti Darina, Daisy, Siti Tulip, Sakura, Orkid, Lavender dan lain-lain. Ada sesiapa berani menggunakan bunga Chrysanthemum sebagai nama anak? Tidakkah kedengaran indah apabila dipanggil ‘Chrysanthemum binti Demang Lebar Daun’. Kesian dia, apabila hendak mengisi borang tidak cukup ruang!


Ibu bapa masa kini memilih nama-nama moden untuk anak mereka. Jika lelaki, jarang memilih nama Awang, Kulup Besar, Buyung dan sebagainya. Itu dianggap nama Melayu lama, tidak relevan dan langsung tidak ada nilai komersial. Nama-nama seperti Kemat, Dollah, Mahat hatta Jalil sekali pun dianggap koman, tidak sesuai untuk era ICT.


Rasanya nama paling popular untuk anak lelaki sekarang ialah Aaron, Mikael, Daffi, Andy dan sebagainya. Tetapi elakkan Arnold Schwarzenegger untuk nama anak kita. Cuba bayangkan Arnold Schwarzenegger bin Megat Najmuddin. Memang dia tidak boleh mengisi borang untuk mohon kerja kerajaan, sebab tidak cukup ruang.


Untuk anak perempuan lagi susah mencari nama yang sesuai. Setakat Minah, Midah atau Marpuah orang tidak pakai lagi. Khatijah pun tidak sesuai, lalu ditukar menjadi Kathy. Ani tidak berapa sedap, ditukar menjadi Anne. Sharifah menjadi Sherry atau kalau hendak sedap lagi Cherry. Bukankah indah bunyinya apabila dipanggil Siti Cherry binti Sudarmono. Bunyi orang putih ada, bunyi Jawa pun ada.
Antara nama-nama menarik terkini untuk anak perempuan ialah Melissa – bukan Manisah! – Liza Surihani, Misya, Reeni, Suzzana, dan banyak lagi yang bunyinya ala-ala keinggerisan. Kalau hendak pakai Mona Liza pun okey sebab itu bunyi Melayu tulen. Tetapi kalau dia kahwin dengan orang Jawa, ibu mertuanya akan sebut loghat ‘Jerman’ pekat, menjadi ‘Munah Lijah’. Dan saya tidak cadangkan nama Monica, walaupun ada bunyi orang putih, takut nanti dia kahwin dengan orang Terengganu dan mertua akan panggil ‘Mok Nik’.


Tidak kira anak lelaki atau perempuan boleh sahaja pilih nama-nama Arab, itu lebih afdal. Tetapi, kena semak dulu dengan ustaz yang mahir bahasa Arab. Ada nama Arab yang bunyinya sedap tetapi bila diterjemahkan ke bahasa Melayu semua orang geleng-gelang kepala. Seorang kawan saya namanya sangat Arab, tetapi dalam bahasa kita nama Arab itu bererti ‘unta’.


Walau bagaimana pun jangan susah hati sangat sekiranya nama Arab anda membawa maksud tidak berapa sedap apabila ditukar ke bahasa Melayu. Sebab nama-nama orang putih pun kalau diterjemahkan dalam bahasa kita ertinya teruk. Contoh ‘John Blacksmith’ ertinya ‘Johan Tukang Besi’, ‘David Copperfield’ dalam bahasa Melayu ‘Daud Padang Tembaga’.  Sekadar panduan untuk yang gemar nama-nama Arab, ada sebuah buku mengenai nama-nama anak, dengan ejaan dan maknanya yang tepat.
Apa pun dalam masyarakat kita nama dalam Sijil Beranak atau Mykad tidak semestinya menjadi panggilan harian. Dalam kehidupan orang kita lebih senang dengan nama timangan atau nama manja. Jangan terkejut sekiranya dalam IC nama bukan main cantik, ‘Siti Zubaidah’, tetapi di kampung dan dalam keluarga dia lebih dikenali sebagai ‘Bedot’. Agaknya sebab itu ada peribahasa kita berbunyi ‘apa ada pada nama!’

Comments

Popular posts from this blog

OFFICIAL FOTOGRAPHER KONVOKESYEN

peRaNaN SuaMI keTikA iStErI dalAm BErPaNtAng

♥ DoAku UntUK mU ♥